KLDEX

13thJuly 2026

Khazanah Emas berduri

KATA orang, pengalaman menikmati durian sebenar hanya dapat dirasai apabila berkunjung ke dusun, menikmati buah yang baru gugur dari pokok sambil menghirup suasana alam yang tenang.

Tidak dinafikan, itu antara keistimewaan ‘Raja Buah’ yang sukar ditandingi, berbanding dengan kebanyakan buah yang lain, namun tidak semua orang dapat merasai pengalaman berkenaan.

Bagaimanapun, selari dengan popularitinya yang kini semakin meluas di peringkat antarabangsa, banyak usaha dibuat untuk memudahkan akses kepada ketersediaan durian. Usaha ini secara tidak langsung membuka ruang untuk mengetengahkan kekayaan warisan tempatan itu bukan hanya sebagai produk pertanian, tetapi juga sebagai aset pelancongan dan budaya.

Antara yang mengambil inisiatif itu termasuklah dua rakan perniagaan, Ang Kean Wee dan Edison Ang yang membangunkan Pusat Pengalaman Durian Kuala Lumpur (KLDEX), premis pertama seumpamanya.

Uniknya di sini, walaupun pengunjung tidak dapat merasai pengalaman makan di dusun sebenar, dua anak muda ini mengambil pendekatan berbeza dengan menjadikan ia sebagai hab pendidikan dan pengalaman durian pertama di negara ini.

Kean Wee berkata, selain menikmati durian terbaik, pengunjung berpeluang mengetahui asal-usul serta perkembangan unik durian Malaysia melalui arkib sejarah yang bernilai, pameran interaktif dan kandungan imersif.

Katanya, ruang pameran disediakan mengetengahkan catatan awal mengenai durian yang membolehkan pengunjung mengenali lebih dekat buah yang melambangkan cita rasa Malaysia ini dari sudut budaya dan sejarah.

“Turut ditampilkan zon pengalaman dusun durian yang membawa pengunjung seolah-olah berada di sebuah dusun desa di negara ini.

“Pengunjung juga berpeluang memahami dengan lebih dekat persekitaran tumbesaran pokok durian, ekosistem dusun serta kaedah penanaman durian tempatan.

“Galeri muzium itu juga akan memaparkan kisah-kisah yang jarang didokumentasikan, termasuk bagaimana beberapa jenis durian ikonik Malaysia menjadi terkenal serta tokoh-tokoh penting yang membantu memperkenalkannya kepada masyarakat umum,” katanya.

 

Pengasas Pusat Pengalaman Durian Kuala Lumpur (KLDEX), Kean Wee (kiri) dan Edison Ang.
Pengasas Pusat Pengalaman Durian Kuala Lumpur (KLDEX), Kean Wee (kiri) dan Edison Ang.

 

Penceritaan kontemporari

Tambahnya, melalui pendekatan penceritaan yang lebih kontemporari, ia diharap dapat membantu pengunjung tempatan dan antarabangsa memahami durian Malaysia dengan cara yang lebih mudah didekati dan lebih diingati.

“Kebanyakan pelancong antarabangsa khususnya China, mereka mengatakan durian yang pahit itu sudah rosak, sedangkan durian Malaysia berbeza dengan apa yang mereka makan seperti dari Thailand dan sebagainya.

“Di sini, kami ingin memberi penerangan bahawa durian Malaysia 100 peratus gugur dengan sendirinya, manakala durian Thailand dipetik apabila ia mencecah 70 peratus masak.

 

Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai jenis durian pilihan terbaik di KLDEX.
Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai jenis durian pilihan terbaik di KLDEX.

 

“Itu yang membezakan rasa durian Malaysia dan Thailand yang hanya manis saja. Jadi secara tidak langsung, pengunjung luar ini akan tahu jenis-jenis durian dari negara ini,” katanya.

Usaha ini juga diharap membantu dalam pemeliharaan warisan budaya durian Malaysia dan mendokumentasikan secara sistematik kisah di sebalik kepelbagaian durian unik yang berasal dari negara ini.

“Malaysia ada pelbagai jenis durian seperti D24, Musang King dan Black Thorn (Duri Hitam), dan selalu mendapat sambutan hangat.

“Tapi, walaupun durian Malaysia terkenal di seluruh dunia, kisah-kisah berharga berkaitan durian ini jarang diceritakan secara menyeluruh.

“Jika tidak dipelihara tepat pada masanya, ia mungkin semakin dilupakan. Justeru, Malaysia perlu memposisikan duriannya pada tahap premium berbanding durian daripada negara jiran.

“Ini kerana jika hendak ‘bertanding’ dari sudut kuantiti, Malaysia sudah tentu kalah, namun jika memilih untuk kualiti, durian Malaysia lebih bermutu tinggi,” katanya.

Katanya, disebabkan itu tidak harian jika durian dari Malaysia dijual pada harga yang mahal. Misalnya jenis Musang King mampu dijual pada harga kira-kira RM90 sekilogram (kg) dan Black Thorn pula RM100 kg di China, iaitu tiga kali ganda mahal dari durian jenis lain.

 

KLDEX menawarkan lokasi yang luas, persembahan menarik dan galeri durian untuk tujuan pendidikan.
KLDEX menawarkan lokasi yang luas, persembahan menarik dan galeri durian untuk tujuan pendidikan.

 

 


INFO

1. Lebih 200 jenis durian dikenali di pasaran tempatan dengan setiap satunya berbeza dari segi rasa, tekstur dan warna.

2. Antara yang popular Musang King – dikenali dengan warnanya kuning keemasan, berisi tebal dan lemak.

3. Black Thorne/Duri Hitam – warnanya sedikit oren, tekstur lembut, manis dan berkrim.

4. D24/Sultan – warnanya kuning pucat, berisi tebal dan lemak manis.

5. Udang Merah (D175) – biasanya berwarna oren kemerahan, pejal, manis dan teksturnya sedikit melekat.